Melafadzkan Niat Sebelum Shalat Itu Sunnah Bukan Bid'ah


MELAFALDZKAN NIAT SEBELUM SHALAT ITU SUNNAH BUKAN BID'AH

Isu melafazkan niat tidak pernah timbul pada zaman para salafussoleh. Namun begitu, pada zaman ulama mutakhirin, isu ini mula muncul . Kemudian, lahirlah pelbagai hukum disisi para ulama mazhab.

Pada zaman mereka, tidak timbul isu pembidaahan tetapi pada zaman kita iaitu zaman fitnah ini telah timbul satu kelompok manusia yang membidaahkan amalan melafazkan niat. Soalnya, apakah ulama-ulama muktabar mengambil sikap membidaahkan amalan ini? Ayuh kita lihat hujjah para ulama muktabar.

Mazhab Syafie:
1. Imam Nawawi : “Niat itu dengan hati, dan disunatkan berlafaz sebelum takbiratul ihram” (Rujuk Minhaj At-Tolibin, ms 25)

2. Imam Ramli : “Disunatkan melafazkan apa yang diniatkan sebelum takbir (solat) agar lidah dapat membantu hati dan agar menghindarkan daripada waswas” (Rujuk Nihayah Al-Muhtaj, j. 1, ms 437)

Mazhab Hanafi:
1. “Dan berlafaz ketika mahu mengerjakan solat sunat dan ialah pendapat yang terpilih.” (Rujuk Dur Al-Mukhtar dengan Syarhnya)

Mazhab Maliki:
1. “Dan lafaznya iaitu orang yang solat melafazkan dengan apa yang membawa kepada niat, seperti dia malafazkan: ‘Aku berniat solat zuhur umpamanya’. Ia dibenarkan iaitu boleh dengan khilaf aula.” (Rujuk Syarh Ad-Dardir ala Matn Al-Khalil)

2. “Dan dikecualikan daripadanya orang yang waswas, maka bahawasanya sunat dia berlafaz dengan apa yang membawa kepada niat untuk menghilangkan waswas seperti yang disebutkan dalam Al-Mawaqi’.” (Rujuk Hasyiah ala Matn Al-Khalil)

Mazhab Hanbali:
1. “Dan tempatnya di hati iaitu wajib dan di lidah ialah sunat” (Rujuk Kashf Al-Qina’ ala Matn Al-Iqna’)

2. Ibnu Qudamah (ulama Hanabilah): “Berlafaz itu hanyalah sebagai penguat (ta’kid) kepada niat” (Rujuk Al-Mughni, j.2, ms.14)

KESIMPULAN

Kesimpulan bagi empat mazhab ini, telah dinyatakan oleh Syeikh Abdul Rahman bin Muhammad ‘Awad Al-Jaziri di dalam kitabnya yang masyhur Al-Fiqh Ala Al-Mazahib Al-Arba’ah :

“Disunatkan melafazkan dengan lidah akan niat seperti dia mengucapkan dengan lidah akan niat...kerana pada yang demikian itu peringatan bagi hati...Dan hukum ini disepakati di sisi mazhan As

-Syafiyyah dan Al-Hanabilah...Bagi mazhab Malikiyyah dan Hanafiyyah melafazkan niat tidak disyariatkan pada solat, melainkan apabila bagi orang yang bersifat waswas” (Rujuk Al-Fiqh Ala Al-Mazahib Al-Arba’ah Cet. Dar Al-Hadis, j.1, ms.205; Cet. Dar Al-Kutub Al-Ilmiyyah, j.1, ms. 195)

Oleh itu, tidak timbul isu pembidaahan kepada amalan melafazkan niat kerana para ulama sepakat bahawa tempat niat itu di dalam hati namun dibenarkan untuk melafazkannya bukanlah dibidaahkan seperti mana kelompok yang agak keras yang mengguna pakai fatwa daripada Ibnu Taimiyyah, Ibnu Qayyim, Al-Qaradhawi dan ada juga yang salah dalam menggunakan hujjah Imam Suyuthi.

FATWA KONTEMPORARI

Fatwa daripada ulama Azhar As-Syarif iaitu Syeikh Atiyyah Saqr menyatakan:

“Dan sesungguhnya telah berkata Asy-Syafiyyah: “Tidak mengapa berlafaz dengannya (niat), Bahkan disunatkan, dan demikian itu untuk lisan membantu hati (berniat). Maka kalau ditinggalkan berlafaz dengannya (niat), maka solat itu telahpun sah dan diterima, Insya-Allah. (Rujuk Al-Fatawa Min Ahsan Al-kalam Al-Fatawa Wa Al-Ahkam, ms 476)

ISTIDLAL HUKUM

Ulama mengeluarkan hukum sunat berlafaz pada niat bukanlah daripada hawa nafsu semata-mata. Mereka mengistinbatkan hukum ini berdasarkan hadis-hadis berikut:
“Daripada Anas r.a berkata: Saya mendengar Rasulullah s.a.w mengucapkan. ‘Labbaika, aku sengaja mengerjakan umrah dan haji” (HR Muslim)

Berdasarkan hadis ini, Imam Ibnu Hajar Al-Haithami menyatakan dalam kitabnya Tuhfah Al-Muhtaj, bahawa berlafaz niat ini diqiaskan kepada haji.

SYUBHAT YANG DITIMBULKAN

Akan datang daripada kelompok pembidaah mendatangkan teks daripada kitab Imam Nawawi iaitu Al-Majmu ala Syarh al-Muhazzab:

وَقَالَ صَاحِبُ الْحَاوِي هُوَ قَوْلُ أَبِي عَبْدِ اللَّهِ الزُّبَيْرِيِّ أَنَّهُ لَا يُجْزِئُهُ حَتَّى يُجْمِعَ بَيْنَ نِيَّةِ الْقَلْبِ وَتَلَفُّظِ اللِّسَانِ لِأَنَّ الشَّافِعِيَّ رَحِمَهُ اللَّهُ قَالَ فِي الْحَجِّ إذَا نَوَى حَجًّا أَوْ عمرة أجزأ وَإِنْ لَمْ يَتَلَفَّظْ وَلَيْسَ كَالصَّلَاةِ لَا تَصِحُّ إلَّا بِالنُّطْقِ قَالَ أَصْحَابُنَا غَلِطَ هَذَا الْقَائِلُ وَلَيْسَ مُرَادُ الشَّافِعِيِّ بِالنُّطْقِ فِي الصَّلَاةِ هَذَا بَلْ مُرَادُهُ التَّكْبِيرُ: وَلَوْ تَلَفَّظَ بِلِسَانِهِ وَلَمْ يَنْوِ بِقَلْبِهِ لَمْ تَنْعَقِدْ صَلَاتُهُ بِالْإِجْمَاعِ فِيهِ

“Dan berkata pemilik (kitab) Al-Hawi, ia pendapat Abi Ubaidillah Az-Zubairi: ‘Sesungguhnya tidak memadainya sehingga

menghimpunkan di antara niat hati dan berlafazkan dengan lisan kerana telah berkata As-Syafie r.h.m pada Haji, apabila berniat haji dan umrah memadai (dalam hati sahaja). Dan bahawasanya tidak berlafaz (niat). Dan tidaklah seperti solat itu tidak sah melainkan dengan melafazkan (niat). Berkata Ulama Syafiyyah pendapat ini silap dan tidak

dikehendaki As-Syafie (mewajibkan) dengan berlafaz (niat) pada solat, bahkan yang dikehendakinya ialah (berlafaz) takbir). Dan (pada masalah) kalau ia berlafaz dengan lisan sahaja, (tetapi) tidak diniatkan dalam hatinya (maka) tidak dikira solatnya itu dengan Ijmak padanya” (Rujuk Al-Majmu’ Syarh Al-Muhazzab, cet. Dar Al-Fikr, j. 3, ms. 277)

JAWAPAN

Kalaulah golongan pembidaah ini tidak ditutupi hati mereka dengan kejahilan mereka pasti menyadari kesalahan mereka dan maksud sebenar kata-kata Imam Nawawi ini. Penafian Imam Nawawi adalah pada pendapat yang mengatakan WAJIB melafazkan niat, bukan pada pendapat yang menyatakan sunat melafazkan niat kerana terbukti Imam Nawawi menyokong berlafaz niat seperti yang disebutkan dalam kitabnya Al-Minhaj Al-Tolibin:

والنية بالقلب ويندب النطق قبل التكبير

"Dan niat itu dengan hati, dan sunat melafazkan sebelum takbir" (Rujuk Minhaj Al-Tolibin, cet Dar Al-Fikr, ms. 25)

Antara ulama yang sepakat menyatakan sunat melafazkan niat ialah:

1. Syeikh Zainuddin dalam Fath Al-Mu’in
2. Syeikh Abu Bakar Syatha’ dalam I’anatul Tolibin

3. Syeikhul Islam Zakaria Al-Ansari dalam Fath Al-Wahab
4. Imam Khatib Syarbini dalam Mughni Al-Muhtaj

5. Imam Ramli dalam Tuhfah Al-Muhtaj
6. Syeikh Syarwani dalam hawasyi Syarwani

7. Syeikh Jamal dalam Hasyiah Jamal ala Syarh Al-Minhaj. Dan lain-lain kitab ulama muktabar.

PERSOALAN

Ada yang mempersoalkan kenapa perlu berlafaz dengan semata-mata untuk membantu hati?

Maka hal ini telah dijawab secara tidak lansung oleh Syeikh Dr. Abd Malik Abd Rahman As-Sa’adi :

1) “Sebagai contoh, sekiranya kamu hendak memberi sesuatu bantuan atau keperluan kepada manusia, memadai sekiranya kamu menghulurkan bantuan itu dengan tangan supaya dia dapat menerimanya. Tetapi sekiranya kamu lafazkan: ‘Ambilah atau persilakan’ sambil tangan menghulurkan tangan adalah lebih baik.”

2) “Seandainya kita dapati setengah ulama berpendapat menuturkan niat adalah bidaah, mereka sebenarnya bermaksud bidaah dari segi bahasa iaitu sesuatu yang baru diwujudkan tanpa ada contoh sepertinya sebelum ini,bukanlah bermaksud bidaah dari segi syariat kerana sekadar menuturkannya tidak boleh dikatakan sesat yang menjerumus pelakunya ke dalam neraka kerana bidaah (dari segi syariat) ialah yang sesat dan setiap kesesatan akibatnya ialah neraka.”

MASALAH FIQH

1. Bilakah waktu berniat? Bagi mazhab Syafie, berniat ialah serentak dengan mengangkat takbiratul ihram seperti yang dinyatakan di dalam Syarh Ibn Al-Qasim Al-Ghazi :

“Niat itu ialah mendatangkan kehendak melakukan sesuatu serentak dengan melakukannya”
(Rujuk Hasyiah Al-Bajuri Ala Syarh Ibn Al-Qasim, j.1, ms 231)

2. Oleh itu, menurut mazhab Syafie dan Maliki, tidak sah jika niat solat diluar solat. Namun, berlafaz niat ialah sebagai membantu hati untuk berniat ketika mengangkat takbiratul ihram.

3. Secara keseluruhannya, terdapat pelbagai hukum pada isu melafazkan niat. Namun jumhur ulama muktabar tidak membidaah sesatkan amalan ini.

Ada dikalangan mereka mensunatkannya secara mutlak dan ada yang membenarkan dengan bersyarat. Isu pembidaahan pada amalan ini tidak timbul kerana melafazkan niat bukanlah bererti kita menambah-nambah amalan pada ibadat solat kerana niat ialah bukan mahiyyah solat.

4. Oleh itu, melafazkan niat berlaku diluar solat sebagai suatu cara kita menguatkan hati kita untuk berlafaz dalam hati kerana kita mengetahui bahawa niat itu mestilah serentak dengan perlakuan. Kami nasihatkan kepada golongan pembidaah, kalau tidak setuju cukuplah setakat tidak setuju, jangan dibidaahkan perkara-perkara khilafiah sebegini kerana secara tidak sedar anda telah menzahirkan kejahilan diri sendiri.

5. Berkata Syeikh Atiyyah Saqr (mantan Ketua Lajnah Fatwa Al-Azhar) : 
“Dan menghukum bidaah sesat di atas apa yang telah dinyatakan itu (berlafaz niat) adalah tidak boleh diterima sama sekali. (Kerana) sesungguhnyya ulama telah menjelaskannya adalah afdhal. Dan menjadikannya (sebagai hukum) sunat, mustahab dan mandub pada beberapa keadaan seperti waswas.(Iaitu) bersama pengetahuan/peringatan bahawa berlafaz (niat) tidak memberi mudharat (bahkan) ia memberi manfaat" (Rujuk Al-Fatawa Min Ahsan Al-Kalam, j.1, ms. 476)

Disediakan oleh: Sekretariat Muzakarah Hadis & Syariat (MUHADIS)

Wallahu a'lam Bishowab

Allahuma sholii 'alaa sayyidina muhammad wa 'alaa aalihi wa shohbihi wa salim
  

Posting Komentar

Lebih baru Lebih lama